Wednesday, May 11, 2011

6,800 Pengguna Jalan Raya Maut Setiap Tahun

KUALA LUMPUR 26 April - Kerajaan terpaksa menanggung sejumlah RM9 juta untuk kos sosial disebabkan kematian kira-kira 6,800 rakyat negara ini dalam kemalangan jalan raya setiap tahun. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, kementerian perlu menanggung kos berkenaan yang meliputi rawatan hospital, perubatan, insurans dan kos memperbaiki infrastruktur.

Beliau berkata, kerajaan juga mengalami kerugian pendapatan dan produktiviti yang boleh dihasilkan oleh mangsa kemalangan jalan raya berkenaan.
"Kementerian mengadakan pelbagai pendekatan seperti kempen kesedaran, memperbaiki kualiti jalan raya, menaik taraf sistem keselamatan pengangkutan, mengadakan keadaan selamat dan mengkaji punca kemalangan bagi mengurangkannya.

"Setakat ini, pelaksanaan itu agak berkesan kerana bilangan mangsa berjaya dikurangkan sebanyak 48 peratus iaitu 28,268 orang pada tahun lalu berbanding dengan 54,091 orang pada 2004," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Keselamatan Kontraktor dan Pekerja ExxonMobil, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi ExxonMobil Malaysia, Hugh W. Thompson.

Kata Abdul Rahim, purata 3.4 bagi setiap 10,000 kereta terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu berbanding 4.7 buah bagi setiap 10,000 buah pada 2004.

Mengulas tentang pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di 831 lokasi di seluruh negara hujung tahun ini, beliau berkata, ia bertujuan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya degil dan enggan mematuhi undang-undang.

Jelasnya, AES perlu diperkenalkan kerana penguatkuasaan oleh tenaga manusia tidak lagi mampu mengawasi jumlah kenderaan di negara yang meningkat kira-kira 100,000 buah setiap tahun.



Utusan Malaysia Online - 26 April 2011